Sunday, July 18, 2010

Manusia Bukan Malaikat

Perkara utama yang membezakan manusia dan malaikat adalah manusia memiliki keinginan dan kehendak. Manusia diberi nafsu dan syahwat. Keistimewaan yang tidak dimiliki oleh malaikat ini membuatkan malaikat menjadi sebuah makhluk yang tidak pernah akan ingkar kepada Allah SWT. Manusia berbeza. Syahwat dan keinginan manusia menjadikan manusia layak menjadi Khalifah di atas muka bumi. Dengan syahwat dan keinginan inilah manusia akan mengimarahkan atau mengsemarakkan bumi ini.

Perkara lain yang membezakan manusia dan malaikat adalah tujuan penciptaan. Malaikat diciptakan sebagai makhluk yang menjadi perantara antara Allah SWT makhluk-makluk lain. Ada malaikat yang tugasnya memberikan rezeki. Ada pula yang tugasnya mencabut nyawa. Jibril yang merupakan kepala para malaikat bertugas sebagai penyampai wahyu kepada para Nabi. Ada pula antara malaikat yang mendapat tugas yang berkait dengan manusia iaitu mencatat amalan baik dan amalan buruk yang dilakukan manusia.

Manusia perlu menyedari bahawa hakikat penciptaan manusia berbeza dengan tujuan diciptanya malaikat. Maka, tugas-tugas yang diserahkan kepada malaikat tidak perlu dilakukan oleh manusia. Mungkin ada yang bingung dan bertanya, “Apakah ada manusia yang menjalankan tugas malaikat!?” “Ya, ada!” Bahkan semakin hari semakin ramai yang sibuk ingin mengambil alih tugas malaikat. Begitu banyak sekali pada akhir zaman ini mereka yang menyibukkan diri mereka untuk menghitung dan menilai amalan manusia lain. Tidak cukup dengan itu mereka bahkan dengan sukacitanya meletakkan pernilaian menurut sesuka hati mereka. Tanpa ragu mereka melabelkan orang-orang dengan pelbagai label seperti, kafir, munafik dan fasiq. Lucunya ada pula yang menggunakan istilah yang lebih sensasi seperti wahabi modern!

Saya tidak habis fikir mengapa ada sebahagian ilmuan atau agamawan yang gemar sekali terlibat dalam tugas mencatat amalan dan menilai manusia lain. Saya juga masih lagi tidak dapat memahami apakah keuntungan mereka berkelakuan demikian. Malangnya lagi, ketika mereka membuka senarai kesalahan orang lain yang telah mereka catat meraka sampaikan dengan penuh emosi yang tandus sentuhan hikmah dan hiasan sabar yang indah, malah kata-kata mereka busuk penuh dendam dan kebencian. Suatu yang tidak pernah akan keluar dari mulut mereka yang dekat kepada Allah.

Rasulullah SAW menyebarkan agama Islam ini dengan penuh kasih sayang. Bahkan Allah katakan bahawa kehadiran Islam adalah Rahmat. Lupakah kita bagaimana Islam telah menyatukan dua puak yahudi yang sekian lama bermusuhan di kota Madinah. Aus dan Khazraj. Lupakah kita bagaimana pembukaan kota Mekah terjadi dengan penuh belas kasihan. Bahkan Rasulullah SAW ketika berhadapan dengan penduduk Taif masih lagi sabar dan melindungi mereka dari kemurkaan Jibril padahal ketika itu kaki Baginda telah pun dialiri darah.

Betul kita tidak mampu mencintai orang lain sepertimana Baginda mencintai umatnya. Namun, tidakkah kita mahu berusaha untuk menimbulkan perasaan cinta itu. Jangan hanya kerana emosi kita tertipu dan turut terbakar kerana bisikan syaitan.

Ingin saya ingatkan diri saya bahwa tugas kita bukanlah sebagai malaikat. Kita tidak diciptakan untuk menilai orang lalu melabelkan mereka. Kita juga tidak diciptakan untuk menyenaraikan kesalahan sesiapa. Sebuah hadis mengatakan bahawa orang lain merupakan cermin kepada diri kita. Ketika kita melihat ramai orang sekitar kita yang mungkin ‘menyimpang’ cerminlah dulu diri kita. Cerminlah bagaimana usaha kita menyampaikan dakwah kepada mereka. Cerminlah bagaimana mu’amalah kita terhadap mereka. Cerminlah bagaimana pedulinya mereka terhadap mereka. Itu yang diajarkan bukan sebaliknya. Bukan mencela membuka aib lalu memulaukan mereka. Bukan mencipta jarak dan menyebarkan gosip (fitnah) yang menghasut. Kita tidak tahu apa yang bakal terjadi kepada kita. Kepada keluarga kita dan anak cucu kita. Jika kita merasa kita baik atau sholeh. Yakinkah kita keselamatan dari api neraka? Yakinkah kita besok hari kita akan disirami cahaya iman dan islam? Yakinkah kita dan ada jaminankah? Seandainya anda berani mengatakan yakin dan ada jaminan, mengapa Allah SWT mewajibkan kita untuk meminta kepadaNya supaya diberi hidayah dan ditetapkan di atas jalan lurus sepertimana kita baca setiap kali solat dalam surah Fatihah? Mengapa Rasulullah mengajarkan kita agar membaca doa, “Ya Allah tetapkanlah hatiku dalam agamaMu dan dalam ketaatan kepadaMu”? Tidak ada jaminan. Hidayah yang kita rasakan selama ini bukan usaha kita akan tetapi pemberian Allah. Allah SWT berhak mencabutnya bila-bila. Lalu mengapakah kita berani melabelkan dengan sesuka hati kepada orang lain. Yakinkah kita bahawa mereka benar-benar munafiq yang seperti kita katakan? Fikirlah dan fikirlah.

Lama saya perhatikan keadaan yang kurang sihat yang berlaku di banyak tempat. Iaitu sikap suka melabelkan dan memfitnah. Jika ada melihat sesuatu yang ada rasa tidak benar cubalah untuk pergi dan bertanya secara langsung kepada mereka yang melakukan. Cari kesahihan pada apa yang kita lihat. Kerana apa yang kita lihat bukan pasti seperti yang kita sangkakan. Ubah sikap kita yang gemar cakap belakang sebelum berkata kepada pihak itu secara langsung. Ingin saya jelaskan dengan contoh mudah. Suatu hari ada melihat teman sekelas anda berjalan dengan seorang lelaki yang belum pernah anda lihat. Keesokkan harinya anda berdiri di depan kelas dan terus membuka kisah yang anda lihat itu. Maka timbulah gosip dan fitnah. Padahal seharusnya anda bertanya terlebih dahulu kepada si pelaku mengenai kejadian itu. Si pelaku berang lantas berdiri dan berkata bahawa lelaki itu adalah abang kandungnya. Terkejut kamu tetapi terlambat. Maruah orang tersebut telah jatuh akibat kata-kata yang benar namun tidak benar. Benar dia berjalan dengan seseorang namun tidak benar akan hakikat hubungan antara pelaku dan abangnya. Berita yang bersifat negatif telah terlanjur merebak ke serata tempat. Tidak ada cara untuk berpatah balik. Terlalu banyak kasus yang seumpama ini terjadi di depan mata selama saya berada di sini. Sudah saatnya kita ubah sikap yang tidak baik ini. Jangan jadi penakut yang berani cakap dibelakang. Datanglah langsung kepada si pelaku dan sampaikan pandangan anda dengan ikhlas dan penuh hikmah. Anda tidak bertanggung jawap atas apa yang mereka lakukan akan tetapi anda bertanggung jawap atas apa yang ada lakukan dan perlu lakukan. Hak anda adalah memberi peringatan. Terserah mereka mahu terima atau pun tidak kerana hakikatnya hidayah itu milik Allah.

Berhentilah menyibuk melakukan tugas malaikat. Sibukkanlah dengan tugas kita sebagai manusia.

Perkara terakhir yang ingin saya sampaikan adalah. Jangankan manusia yang sangat terbatas ini ingin menilai dan menghukum orang lain, malaikat saja tidak mampu menilai manusia dengan tepat. Apa buktinya? Buktinya jelas seperti yang kita pelajari dalam bab puasa. Puasa adalah sebuah ibadah yang Allah SWT sendiri yang akan menilainya. Mengapa? Kerana malaikat sendiri tidak mampu menjalankan tugas itu. Malaikat tidak mampu menilai secara tepat apa yang terkandung di dalam hati manusia seperti mana yang berlaku di dalam puasa. Jika malaikat tidak mampu lalu mengapa masih ada manusia yang ingin menyibuk!? Biar bagaimana dahsyatnya penampilan seseorang itu tidak mewakili hatinya.

Marilah kita sibukkan diri dengan tugas kita sebagai manusia. Tugas menyampaikan dengan hikmah dan ikhlas. Tugas berbakti tanpa mengharap balasan kecuali dari Allah. Bersihkan hati.